Wednesday, September 30, 2009

BONG!!!!!

BONGGGG!!!!!...... kedua-dua tangan saya terangkat secara refleks dari keyboard komputer riba tatkala mercun besar diletupkan jiran di sekitar tempat tinggal kami. Minda saya yang sedang tenang membuat kerja-kerja komputer langsung blank, jantung berdegup kencang, darah mengalir laju, dan perasaan marah mula menguasai diri. Nasib baiklah jantung saya sehat, kalau tak dah pasti bunyi mercun itu boleh membuat kejutan yang boleh menyebabkan kemortalan. Bayangkan ketika anda baru mula nak tidur, pada saat mata terlelap dan sangat mengantuk. Tiba-tiba BOM!!!!!.... dah pasti terbangun kan? Bayangkan ketika anda sedang mendodoikan bayi yang payah nak tidur. Dah hampir sejam bayi itu menangis kerana mau tidur (perangai bayi yang suka menangis sebelum tidur) bayangkan kalau pada ketika bayi itu hendak tidur, tiba-tiba BOMMMM!!!! Bayi terbangun lagi dan menangis lagi. Terpaksa mendodoikan bayi itu untuk lebih kurang sejam lagi… bayangkan kalau perkara ini berlaku tengah-tengah malam, ketika anda sudah tidur dan bayi sedang nyenyak tidur, tiba-tiba BOMMM!!!.... dalam keadaan yang sangat mengantuk anda terpaksa mendodoikan bayi yang terbangun. Bayangkan apabila anda sedang membaca dengan penuh khusyuk, tiba-tiba BOMMMM!!!... bayangkan kalau anda sedang khusyuk menonton rancangan kegemaran anda, tiba-tiba BOMMMM!!!
Bukankah kerajaan dah mengeluarkan arahan pengharaman penggunaan mercun? Bukankah kerajaan telah menggariskan peraturan ketenteraman awam? Tidak terfikirkah oleh si pengguna mercun itu perasaan jiran-jirannya apabila mercun itu dibakar dengan tidak mengira masa dan tempat? Barangkali dia belum tau hukum karma. Ianya seperti menumbuk dinding, makin kuat anda menumbuk dinding, makin sakitlah tangan anda. Ini adalah kerana dinding itu secara diam-diam telah membalas perbuatan anda. Jadi, ingatlah dan sedarlah… semua perbuatan kita dihitung.

Sunday, December 14, 2008

Pendidikan seawal 70an suku kaum Kimaragang

Pendidikan bagi suku kaum Kimaragang telah bermula seawal tahun 60an semasa era penjajahan. Seperti daerah-daerah lain di Sabah, daerah Kota Marudu tidak tercicir dalam mendapat pendidikan. Pendidikan awal suku kaum kimaragang di daerah Kota Marudu terutama sekali kawasan tandek merupakan suatu mimpi ngeri di kalangan pelajar pada masa itu. Guru-guru dikatakan amat garang dan sangat ditakuti. Bayangkan saja rotan tidak pernah berpisah dari tangan guru. Ini menunjukkan bahawa guru itu sentiasa bersedia untuk merotan pelajar-pelajar yang melakukan kesalahan. Guru-guru sangat tegas dalam menegakkan disiplin di sekolah. Mengikut satu cerita dari seorang bekas pelajar di SK Masolog, dia pernah dirotan di bahagian tangan sehingga gelangnya pecah terkena rotan. Sedangkan gelang yang keras boleh jadi pecah, apalagi kulit pelajar itu yang lembut dan halus, dah tentu luka. Ini bukan cerita dongeng yang sengaja direka-reka. Saya sendiri pernah melaluinya semasa bersekolah di SK Masolog. Pada masa itu pelajar yang tidak dapat menjawab soalan yang dikemukakan oleh guru akan didenda dengan berdiri. Kalau tak dapat jawab lagi, denda akan ditambah dengan mengarahkan pelajar berdiri di atas kerusi dan seterusnya di atas meja. Kalau pelajar itu masih tidak dapat menjawab soalan, akhirnya pelajar itu akan dirotan dan sasaran utama ialah bahagian punggung pelajar. Sebahagian pelajar yang bodoh meletakkan buku di bahagian punggung mereka untuk mengurangkan rasa sakit apabila dirotan. Ini adalah sebahagian kecil masalah yang dihadapi oleh pelajar di sekolah. Ada banyak masalah lain lagi yang dihadapi oleh pelajar ketika bersekolah dimasa itu. Sebagai contohnya pelajar yang tinggal jauh dari sekolah. Mereka terpaksa meredah kawasan sawah padi yang becak dan berlumpur untuk sampai ke sekolah tepat pada waktunya. Saya sendiri tinggal jauh dari sekolah. Untuk sampai ke sekolah, saya terpaksa melalui sebatang sungai yang tak berjambatan. Untuk melalui sungai itu, saya menggunakan tiga batang buluh yang dipasang oleh bapa saya sebagai titi. Ada juga beberapa kali saya terjatuh kedalam sungai ketika melaluinya. Selepas melalui titi tersebut, saya melalui kawasan sawah padi yang berembun dan berlumpur. Titisan embun yang ada pada daun-daun padi menyebabkan pakaian saya basah. Ditambah pula dengan lumpur dan air, sehingga saya tidak boleh memakai kasut ataupun selipar. Inilah yang saya hadapi selama enam tahun bersekolah di sekolah rendah. Pernah satu ketika saya tidak sempat sarapan pagi. Bila masa balik, saya terasa sangat lapar dan dahaga. Saya tidak larat hendak jalan lagi dan akhirnya kakak sepupu saya mendukung saya balik rumah. Masa itu air sungai dan telaga sedap semuanya. Saya menjadikan itu semua sebagai pendorong untuk berjaya.

Monday, August 4, 2008

Kimaragang digital

Era baru dalam kehidupan suku kaum kimaragang

Kimaragang Digital

Kimaragang, satu suku kaum yang terdapat di daerah Kota Marudu, Sabah